Program 'Ziarah Kasih' di sekitar Kota Kinabalu

0 comments

Oleh: almansur

2009 baru sahaja melabuhkan tirainya dan kini 2010 mengambil tempat. Seperti kebiasaan malam 31 Disember sangat dinanti-nantikan oleh kebanyakan masyarakat untuk menyambut ambang tahun baru. Kemeriahan sambutan ibarat satu pesta muda-mudi untuk bersuka-ria dan mencari kebebasan.


Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar (DPPKS) seiring dengan Pemuda PAS Pusat dalam melaksanakan 'Ziarah Kasih' di ambang tahun baru. Program yang diaturkan pada malam ambang tahun baru ini adalah bermatlamatkan untuk mendekati masyarakat serta menyampaikan sedikit kefahaman tentang gejala yang merosakan generasi muda. DPPKS semalam telah bergerak dalam dua kumpulan utama iaitu di Pantai Anjung Lipat dan Padang Mardeka. Selain dari mengedarkan risalah, DPPKS juga mendekati remaja-remaja dalam usaha nasihat-menasihati ke arah kebaikan.

Antara yang terlibat dalam mandi buang sial selain ingin bersuka ria di malam tahun baru

Seperti kebiasaan, sambutan tahun baru di Sabah seringkali dicermari dengan unsur-unsur khurafat yang telah sebati dalam sesetengah masyarakat setempat. Upacara mandi membuang sial sering kali dikaitkan dengan sambutan tahun baru. Selain dari mandi, pelbagai objek dibuang ke laut dengan niat membuang sial agar tahun 2010 dilalui dengan lebih baik. Amalan seperti ini jelas bertentangan dengan Islam, yang mana Islam menuntut umatnya yakin kepada 'qada dan qadar' dari Allah s.w.t. Selain di Anjung Lipat, upacara buang sial juga turut di adakan di Tanjung Aru.

Mendekati remaja

Selain dari itu, pergaulan bebas turut mencemari sambutan tahun baru, dimana rata-rata belia dan remaja yang hadir membawa bersama-sama pasangan masing-masing. Gejala sosial ini sekiranya tidak dibendung pastinya akan merosakan generasi akan datang. DPPKS yakin bahawa berleluasa amalan khurafat dan gejala sosial ini adalah akibat dari ketidak prihatinan kerajaan BN Sabah yang sambil lewa dan tidak berusaha ke arah menerangkan kesalahan serta amalan khurafat dikalangan masyarakat.

Imarahkan Masjid atau Jaga Periuk Nasi?

0 comments

Oleh: Nazir

Dewan Pemuda PAS Sepanggar (DPPKS) telah lama memulakan usaha menanam benih Islam dan ilmu ke dalam jiwa masyarakat yang kontang. Nyata masyarakat yang begitu mengharapakan anjakan kehidupan beragama di dalam hidup mereka memberi ruang seluasnya kepada mana-mana individu untuk menyuntik jiwa sanubari mereka dengan nilai-nilai Islam dan pembangunan ummah. Malah, rakyat Sabah semakin menyedari akan sifat Islam yang 'alamiy atau world, dan meyakini Islam sebagai penyelesai kepada kemelut ekonomi, pendidikan dan sosial yang 'meribut' mutakhir ini.

DPPKS merasa kecewa apabila kesedaran yang mula merebak di dalam diri ahli masyarakat tersekat oleh kepentingan dan permainan politik sesetengah pihak yang diberi 'mandat sementara' menguruskan rumah-rumah Allah di sekitar kawasan Kota Kinabalu. Keupayaan ahli-ahli PAS menyampaikan ilmu dihalang oleh sebab ideologi 'hijau' yang mereka dukung, walaupun ianya tidak dizahirkan secara terus-terang di dalam kuliah dan perkongsian ilmu yang dilaksanakan.

Gambar hiasan

Perbualan dengan rata-rata ahli jamaah surau dan masjid yang diziarahi di sekitar kawasan Sepanggar mengakui bahawa tempat ibadat mereka langsung tidak hidup dengan suasana ilmu. Menurut mereka lagi, individu yang bertindak menghalang penceramah yang dianggap 'berhaluan kiri' menyampaikan ilmu biasanya hanya seorang atau dua yang mempunyai pengaruh dan berkepentingan.

Lebih menyedihkan apabila kepentingan peribadi tersebut menzalimi hak golongan yang lemah, misalnya apabila usaha Dewan Pemuda PAS cuba menyampaikan sumbangan beras kepada 30 keluarga muallaf di sebuah surau di daerah Tamparuli pada sambutan Hari Raya Aidiladha yang lepas dibatalkan setengah jam sebelum program oleh Pengerusi Surau, hanya dengan alasan 'kalau PAS yang bagi tak boleh, nanti periuk nasi saya dan anak isteri bermasalah.'

Mengulas isu berkenaan, Ketua Dewan Pemuda PAS Sepanggar, Saudara Amir Saifuddin Samsuddin menyatakan. "Begitulah budaya yang telah dipupuk oleh UMNO/BN sejak bertahun-tahun lagi. Ini penting bagi UMNO kerana selagi mana rakyat tidak berilmu, selagi itulah rakyat akan terus diperbodohkan dan UMNO akan terus berkuasa."

Menurut beliau lagi "Fungsi masjid dan surau wajib dikembalikan sebagaimana di zaman Rasulullah. Selain menjadi tempat ibadat, ia menjadi tempat tentera berkumpul sebelum berperang, ia menyediakan ruang perbincangan dan penyelesaian masalah umat dan ia menjadi tempat pengagihan sumber kekayaan negara. Tetapi hari ini yang menjadi keutamaan UMNO ialah, rakyat mesti disekat daripada mendapat ilmu dan kefahaman Islam, walaupun ilmu itu semata-mata berkisar tentang keindahan dan keadilan Islam. Oleh yang demikian DPPKS akan terus berusaha agar institusi masjid berjaya dibebaskan dari cengkaman mereka yang berkepentingan."

PASTI kawasan Sepanggar dibuka untuk pendaftaran sesi 2010

0 comments

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan sebuah institusi pendidikkan pra-sekolah yang tidak asing lagi kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar turut membuka beberapa buah PASTI bagi memenuhi keperluan masyarakat mendapatkan pendidikan yang lebih baik mengikut acuan Islam. Berikut adalah senarai PASTI di kawasan Sepanggar:

PASTI Puterajaya (014-8696933)
PASTI Kg. Lobou (014-3547301)
PASTI Tmn. Khidmat (016-8311134)
PASTI Tmn. Kuala Menggatal (013-8910652)
PASTI Kingfisher (019-5315577)
PASTI Universiti Apartment (016-8816125)

Semoga dengan usaha ini akan memberi impak yang baik untuk perkembangan Islam pada masa akan datang. Sebarang pertanyaan dan urusan pendaftaran, boleh menghubungi no telefon setiap PASTI yang disertakan.

Visi dan Misi PASTI boleh lihat di sini.

Majlis Makan Malam Konvensyen PKR Sabah

0 comments

20hb (ahad): Bersempena dengan Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Sabah pada sebelah siangnya, PKR Sabah telah menganjurkan Majlis Makan Malam Konvensyen PKR Sabah. Antara pimpinan pusat PKR yang turut serta pada majlis makan malam tersebut ialah YB Tian Chua, YB Zuraida dan Datuk Chua Jui Meng. Manakala antara pimpinan PAS yang hadir sebagai jemputan ialah Tn Hj. Aminudin Aling selaku timbalan pesuruhjaya PAS Sabah, Sdr Abd Hamid YDP PAS kawasan Putatan dan Sdr Amir Saifuddin selaku ketua pemuda PAS kawasan Sepanggar. Turut serta pada majlis tersebut ialah wakil dari DAP. Majlis yang diadakan di Ocean Seafood Restaurant, Kota Kinabalu tersebut telah dihadiri oleh lebih 1300 masyarakat dan ahli PKR Sabah.


Majlis yang sepatutnya dihadiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, selaku pemidato utama terpaksa diganti dengan YB Tian Chua disebabkan masalah penerbangan DSAI yang ‘delay’. YB Tian Chua telah menyampaikan ucaptama dengan menekan bahawa inilah masa yang terbaik untuk melakukan perubahan kearah Malaysia yang lebih baik. Selain dari itu, YB Tian Chua turut menyeru rakyat Sabah agar berani melakukan perubahan pada PRK ke-13 nanti.


Sebelum dari itu Datuk Chua Jui Meng turut memberi ucapan dengan menekan bahawa Pakatan Rakyat ingin membawa satu perubahan besar dari pelbagai aspek. Perubahan tersebut melibatkan fahaman perkauman, integriti, pendidikan dan ekonomi. Seterusnya antara perubahan besar akan dibawa ke Sabah ialah, pemberian royalti hasil minyak dan gas sebanyak 20% yang akan diberikan kepada kerajaan negeri Sabah sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memerintah Malaysia.



Majlis berakhir yang pada pukul 11 malam tersebut turut membuat cabutan bertuah kepada tetamu yang hadir.


Penulis: Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepanggar

TUISYEN RAKYAT: Dari Rakyat untuk Rakyat

0 comments

Sebagai satu usaha ke arah memberi khidmat kepada rakyat. Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar akan mengajurkan tuisyen bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun hadapan. DPP Sepanggar bersama-sama Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dengan ini melancarkan 'TUISYEN RAKYAT'.

Tarikh :
11 hingga 14 Disember 2009

Tempat:
Pejabat Penerangan PAS-PKR, University Apartment.

Masa:
8.30 pg - 10.30 pg (UPSR)
2.00 ptg - 4.00 ptg (PMR)
8.00mlm - 10.00 mlm (SPM)

Bayaran:
RM 10 Sahaja (4 subjek/4 hari)
RM 20 sahaja (satu keluarga)

Hubungi:
Ust Idin (013-8581451)

DAFTAR SEGERA! TEMPAT TERHAD

Pemuda PAS kawasan Sepanggar berdiri teguh dibelakang TGNA

0 comments

Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar hari ini menyatakan pendirian berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. DPP kawasan Sepanggar menyedari bahawa UMNO/BN yang semakin terdesak, dan akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kedudukan mereka.



Berita berunsur fitnah dan hasutan terhadap PAS akan sentiasa didendangkan di media-media utama. Sehubungan dengan itu DPP kawasan Sepanggar menggesa semua jentera penerangan PAS, blogger dan media alternatif dapat digerakkan bagi menepis segala fitnah dan hasutan dari UMNO/BN.



UMNO/BN sedia maklum bahawa kepimpinan TGNA merupakan penghalang utama kepada niat mereka untuk membendung kebangkitan rakyat. Oleh yang demikian serangan demi serangan terhadap TGNA dilakukan bagi menjatuhkan kepimpinan dan kreadibiliti TGNA. Isu 'tuhan samseng', isu 'air Kelantan diserbu oleh SPRM', isu 'Islam plastik' dan yang terbaru isu 'doa' merupakan perancangan licik UMNO/BN bagi memperbodohkan rakyat. Namun, sehingga kini kepimpinan TGNA semakin mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat.



Maka, sekali lagi DPP kawasan Sepanggar berpendirian bahawa isu yang diperkatakan sekarang hanyalah perancangan jahat UMNO/BN dan DPP kawasan Sepanggar juga menyokong penuh kepimpinan TGNA sebagai Menteri Besar Kelantan dan sebagai Mursyidul Am PAS.



Ketua Pemuda PAS kawasan Sepanggar
Amir Saifuddin Samsuddin

 

powered by : www.blogger.com | designed by :ikhwan nain