Sejarah Parti Islam Semalaysia (PAS)
Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada
2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang
dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara.
Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti
pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang
moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan
semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini
PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di
Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada
kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang.
Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik,
pengkaji dan juga penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan
PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951
apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan
sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama
persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS)
pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan
Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan
sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang
menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini.
Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja
ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai
politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini
dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa
gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir,
Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh
ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang
belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah
para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang
boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam
keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan
ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya
(MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada
usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau
bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini
terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para
ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang
’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran
rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang
lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis
Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh
Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan
Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada
1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian
ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan
ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum
Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan
kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana
tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan
sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi
loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak
yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang
Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi
loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang
dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak
menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk
menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai
telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’
dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk
menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS
menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan
melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai
Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan
berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak
itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang
memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi
pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan
mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan
orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji
Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan
yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang
merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara
yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih
kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya
terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’
dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam
perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan
terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara
Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha
suci”2.
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah
memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya
dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul
Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai
Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri
Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan
al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah
dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di
Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada
akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang
diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di
negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung
1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan
ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik,
keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik.
Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan
Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada
1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara
Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam
masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa
kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan
Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13
Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini,
Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS
semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS
memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka
kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara,
mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan.
PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran
PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional
(BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan
PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga
membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih
berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan
politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan
melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan
pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977
yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut
kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang
mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan
perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis
kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada
Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS
bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era
kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas
perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap
kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun
melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina
jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan
Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh
kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar
Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta
penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling
mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri
penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang
dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984.
Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang
mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi
krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua
Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan
mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang
membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS
(kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.
Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan
tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang
kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti
Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah
(APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali
lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis
Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada
rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui
BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk
Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai
kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada
2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008
dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di
Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai
politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008
ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden
iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias
(1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd
Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil
Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS
ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu
kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri
(1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan
ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan
PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan
(1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977),
tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula
(1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS,
dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan
ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa
pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.