Malam Kemardekaan: Edaran Risalah Pemuda

0 comments

30hb Ogos, Kota Kinabalu: Remaja dan kebebasan telah menjadi satu kebiasaan hari ini. Suasana tersebut dapat dilihat jelas pada malam sambutan kemardekaan. Sehubungan dengan itu, pada 30hb malam baru-baru ini iaitu malam sambutan ambang kemardekaan, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar bersama-sama Nisa' Sepanggar telah mendekati golongan ini. Selain dari edaran risalah yang disampaikan, DPP Sepanggar juga mendekati remaja untuk bertanyakan khabar. Rombongan ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama di Tanjung Lipat manakala kumpulan kedua ke Jeselton Park.

Nisa' mendekati remaja di Jeselton Park

Mendekati remaja dan bertanyakan khabar


Remaja bermotor yang mencari kebebasan


Antara robongan pemuda dan Nisa kawasan Sepanggar

Rata-rata remaja yang hadir ingin mencari keseronokan dan kebanyakan dari mereka datang secara rombongan dari kampung-kampung berdekatan. Pada pemerhatian ahli rombongan, kejahilan menyambut kemardekaan ini adalah kerana pihak berwajib tidak menyediakan pendidikan yang sempurna. Turut sama di dalam program tersebut ialah Ketua Pemuda PAS negeri Sabah, Sdr. Lahirul Latigu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri Sabah, Sdr. Salman Mohd Amin dan juga Ketua DPP kawasan Sepanggar, Sdr. Amir Saifuddin Samsuddin.

Banjir kilat di sekitar Likas dan Inanam

0 comments

Kota Kinabalu: Kejadian banjir kilat yang sering berlaku menyebabkan pengguna kenderaan berasa bimbang apabila hujan lebat mulai turun di sekitar Likas dan Inanam. Kejadian banjir kilat ini bukan sahaja mengganggu lalu lintas yang mengakibatkan kesesakan, malah ada juga antara kenderaan yang mengalami kerosakan. Ini menyebabkan para pengguna kenderaan mengalami kerugian akibat dari kejadian tersebut.


Keadaan banjir kilat di jalan likas-survey

Penunggang motosikal terdedah kepada bahaya ketika banjir

Kesesakan lalu lintas akibat dari banjir kilat

DPP Sepanggar berasa terpanggil untuk mengutarakan permasalahan ini. Malah ketika tinjauan dibuat bersama anggota unit amal, jelas kelihatan masalah tersebut benar-benar kritikal. Selain daripada kesesakan lalulintas, terdapat juga deretan kedai yang terlibat di dalam kejadian banjir kilat ini. Ini menyebabkan mereka terpaksa menghentikan seketika perkhidmatan dan seterusnya akan menyebabkan kerugian. Kejadian sebegini bukan baru berlaku, malah telah lama dialami oleh pengguna. Namun begitu, ianya seolah-olah tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan pantas dalam menangani permasalahan ini.


Keadaan deretan kedai akibat banjir

Anggota unit amal yang meninjau keadaan banjir kilat

Kesulitan yang dialami oleh rakyat ini sepatutnya mendapat perhatian serius dari Ahli Dewan Undangan Negeri serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengambil langkah yang perlu. Namun begitu, sikap lepas tangan untuk menyelesaikannya sangat dikesali. Sehubungan dengan itu DPP Sepangar ingin mengingatkan pihak-pihak tersebut agar segera menyelesaikan masalah rakyat, atau rakyat akan menentukanya pada pilihanraya akan datang.

Program DPP Sepanggar sepanjang Ramadhan

0 comments

Sepenuh kesyukuran kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnia dariNya, DPP kawasan Sepanggar dapat mengaturkan beberapa program/pengisian sebagai menghayati keindahan Ramadhan. Berikut adalah program yang akan dilaksanakan oleh DPP Sepanggar:

1. Program Pemuda Bersamamu 1
Sumbangan 'Sekampit Beras sekilo Gula'
Golongan sasaran: Fakir Miskin, Muallaf & Ibu Tunggal
Akan di sampaikan setiap hari Ahad.

2. Program Pemuda Bersamamu 2
Sumbangan 'Bubur Lambuk Pemuda'
Golongan sasaran: Masyarakat setempat
Setiap hari Rabu.

3. Solat Taraweh dan More' Pemuda
Setiap Isnin malam Selasa
Pejabat Penerangan PAS-PKR
Semua muslimin dijemput hadir

4. Edaran Risalah Ramadhan
Setiap hari Sabtu
Masyarakat setempat

5. Iftar Perdana Pemuda
30 Ogos 2010
PASTI Kingfisher
Kerjasama Jabatan Amal.

Sehubungan dengan itu, DPP Sepanggar mengalu-alukan kepada muslimin & muslimat yang ingin menyumbang. Sumbangan boleh disampaikan dalam bentuk beras, gula atau kewangan. Sila hubungi saudara Salman (019-8963075). Sekian terima kasih. Selamat meneruskan ibadah puasa.

Ahli UMNO tumbuk mahasiswa UMS?

0 comments

UMNO/BN kini diibaratkan sebagai satu pertubuhan yang tidak lagi menghiraukan undang-undang. Pelbagai tindakan yang membelakangkan prinsip keadilan sudah tidak lagi menjadi pegangan mereka. Malah kejadian yang menimpa beberapa orang mahasiswa baru-baru ini masih menjadi persoalan. Menurut maklumat yang diterima, kejadian ini berlaku apabila sebilangan mahasiswa membantah kehadiran UMNO ke dalam kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) semasa pergerakan Wanita UMNO bahagian Sepanggar sedang melangsungkan mesyuarat agong.


Kehadiran puteri UMNO semasa mesyuarat di salah sebuah dewan di UMS

Tindakan sebilangan mahasiswa ini bertepatan dengan kehendak AUKU yang melarang mana-mana parti politik menggunakan kemudahan IPT untuk kepentingan mana-mana parti. Namun begitu apa yang berlaku, tindakan mahasiswa UMS ini telah membuatkan beberapa perwakilan UMNO marah dan akhirnya berlaku kejadian yang dimaksudkan. Apa yang lebih malang, mahasiswa ini dinasihatkan untuk tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Kejadian ini akhirnya di diamkan dari pengetahuan media dan umum.

* * *

Apa yang berlaku sekarang, menunjukkan bahawa UMNO/BN semakin tidak diterima lagi oleh rakyat di negeri Sabah. Ini ditambahkan lagi dengan penolakan oleh golongan muda yang semakin muak dengan tindak-tanduk UMNO. Akibat dari suasana ini, mereka terpaksa menjadikan IPT-IPT sekitar kawasan Kota Kinabalu sebagai tempat berkempen bagi meraih pengundi baru dari golangan muda. Ini terbukti sekali lagi apabila, Politiknik Kota Kinabalu (PKK) telah dijadikan medan dakyah politik UMNO apabila Pergerakan Puteri UMNO Sabah dengan mudah diberi laluan untuk menyampaikan sumbangan bubur lambuk di PKK baru-baru ini. Program bersempena bulan Ramadhan ini antara lain, adalah cubaan UMNO untuk mendekati mahasiswa dan mahasiswi yang terdiri dari golongan sasaran pengundi muda.


Kehadiran Puteri UMNO ke Politeknik Kota Kinabalu

Mengedar bubur lambuk

Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar melihat perkara ini sebagai amalan yang jelas bertentangan dengan prinsip keadilan serta melampaui batas. Kejadian menumbuk mahasiswa yang masih menjadi tanda tanya, membuktikan bahawa UMNO sebenarnya langsung tidak mempunyai sifat menghormati golongan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan. Selain dari itu, menggunakan IPT untuk menyebarkan dakyah politik juga merupakan satu tindakan yang telah melanggari akta AUKU itu sendiri.

DPP Sepanggar sekali lagi mengingatkan UMNO/BN bahawa gelombang kebangkitan rakyat semakin meningkat dari hari ke hari. Sebagai golongan muda yang mewakili rakyat Sabah, DPP Sepanggar akan memastikan para pengundi muda akan mendapat maklumat jelas tentang penyelewengan UMNO/BN khususnya di negeri Sabah.

Perutusan Tuan Guru Nik Aziz - Sempena Ramadhan 1431H

0 comments

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Marhaban Ya Ramadhan

0 comments


Kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh kaum muslimin. Semoga Ramadhan kali melatih kita menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah. Sebagimana Firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelummu, agar kamu bertakwa” [Al Baqarah:183]

 

powered by : www.blogger.com | designed by :ikhwan nain