Kg. Air Sembulan: Rakyat Dipinggirkan, Pembangunan Diutamakan!

Ustaz Azman Shapawi dan Cikgu Hamid
merenung masa depan rakyat di Kg. Sembulan

Atas sikap ambil berat dan keprihatinan yang dirasakan terhadap segelintir rakyat yang menjadi mangsa pembangunan di tengah-tengah kota, Dewan Pemuda PAS Putatan bersama-sama Dewan Pemuda PAS Sepanggar mengambil inisiatif membawa Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan ahli rombongan melawat mangsa keadaan bersempena dengan kunjungan DPPP ke Sabah tanggal 14-18 Januari yang lepas.

Antara lokasi awal yang diziarahi ialah Kampung Sembulan Tengah, Sembulan. Kampung tersebut yang terletak di belakang SK Sembulan dan berhampiran Masjid Negeri Sabah, hanya kira-kira 3-4 kilometer daripada Bandaraya Kota Kinabalu seolah-olah 'kampung di tengah hutan konkrit'. Dibuka pada tahun 1903 oleh D.P Sallam Bin D.P Salleh, majoriti rumah di sana dimiliki oleh masyarakat Cina. Walaubagaimanapun, mereka tidak lagi tinggal di perumahan tersebut tetapi kebanyakannya disewakan kepada penduduk tempatan, sementara sebahagiannya diduduki pendatang tanpa izin.

Seorang penduduk apabila ditanya oleh Ustaz Azman Shapawi, mengakui bahawa beliau dikenakan sewa yang sangat mahal untuk tinggal di sana. "Pemilik rumah ini orang Cina, saya menyewa satu bilik ini yang berukuran 6x5 kaki dengan harga RM250 sebulan dan kami 7 beranak tinggal di dalamnya." Beliau menyatakan bahawa punca masalah ialah apabila bilik tersebut 'disewa atas sewa', maka orang tengah mengambil habuan daripada susah-payah rakyat.

Ustaz Azman Shapawi menyampaikan sumbangan kepada penduduk.

Ustaz Azman Shapawi turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan dan baju sekolah kepada masyarakat setempat, dan menggesa pihak kerajaan supaya menghasilkan suatu kata putus untuk menyelesaikan masalah penduduk di sana, samada dipindahkan secara terancang atau diuruskan secara profesional dan holistik. "Meninggalkan mereka dalam keadaan tergantung dan tertanya-tanya, dan hidup dalam keadaan yang begitu dhaif adalah suatu bentuk penganiayaan kepada mereka, dan tidak bertepatan dengan konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang selalu dilaung-laungkan," ujar beliau.

Turut bersama rombongan ialah YDP PAS Kawasan Putatan, Saudara Hamid dan Ketua Dewan Pemuda PAS Putatan, Ustaz Azman selain beberapa Exco Pusat dan kawasan.

Komen Via Facebook :
PERINGATAN: passepanggar.blogspot.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Sila tinggalkan pesan anda di sini

Post a Comment

 

powered by : www.blogger.com | designed by :ikhwan nain